Terkini Viral

Kisah Sebenar Pertukaran Kiblat Dari Baitulmuqaddis Ke Kota Suci Mekah

loading...
Rasulullah saw. dan umat Islam menunaikan solat mereka dengan berkiblatkan Baitul Muqaddis atau Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Rasulullah saw. Masjid al-Aqsa dipilih kerana Allah swt. memerintahkan Rasulullah saw. memilih kiblat umat Islam dari tempat yang suci dan bebas daripada binaan berhala atau tempat sembahan yang melanggar perintah Allah swt. 

Pada waktu tersebut, Masjid al-Aqsa adalah tempat yang lebih sesuai jika dibandingkan dengan Masjidil Haram kerana dikhabarkan di sekeliling Masjidil Haram, terdapat 309 binaan berhala yang masih disembah oleh orang Arab. Wujud juga rasa gusar jika ada pihak yang akan mempermainkan isu jika Rasulullah saw. menjadikan Masjidil Haram sebagai kiblat, pihak-pihak penyembah berhala di sana akan mengatakan yang Rasulullah saw. sebenarnya mengakui berhala-berhala itu Tuhan dia. 

Rasulullah saw. mengerjakan solat dengan berkiblatkan Baitul Muqaddis sehinggalah perpindahan mereka ke Madinah yang membuatkan Rasulullah dan umat Islam terpaksa membelakangi Kaabah, untuk mengadap ke Baitul Muqaddis. Rasulullah saw. menyimpan rasa sayang yang amat sangat pada Kaabah kerana sejarah Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim as. dan anaknya Nabi Ismail as. Membelakangi Kaabah kerana perlu mengadap Baitul Muqaddis adalah sesuatu yang kurang digemari Rasulullah. Selama lebih 16 bulan Rasulullah saw. berdoa setiap hari selepas berlakunya Hijrah supaya Allah swt. memberikan beliau petunjuk untuk memilih arah kiblat yang terbaik bagi umat Islam, dari Baitul Muqaddis ke Baitul Haram iaitu Kaabah. 

Akhirnya Allah swt. memperkenankan permintaan Rasulullah saw. Solat pertama yang dilakukan menggunakan kiblat mengadap Kaabah adalah solat Asar yang didirikan di sebuah Masjid bernama Masjid Bani Salamah, kerana dibuat di atas bekas rumah Bani Salamah. 

Ketika mengimamkan solat Asar tersebut, Malaikat Jibrail menyampaikan wahyu kepada Rasulullah saw. dalam ayat 144 surah Al-Baqarah yang berbunyi. “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. 

Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab (injil dan Taurat), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.” Allah swt. mengabulkan permintaan Rasulullah saw. ketika itu untuk menukarkan kiblat orang Islam dari Baitul Muqaddis ke Kaabah. 

Jemaah Islam pada hari itu menunaikan solat Asar 2 rakaat mengadap Baitul Muqaddis dan 2 rakaat mengadap Kaabah atas perintah Rasulullah saw. dan peristiwa itu menukar nama Masjid Bani Salamah menjadi sebagai Masjid Qiblatain atau ‘masjid dua kiblat’, ekoran dari menjadi satu-satunya tempat di mana umat Islam melakukan solat mengadap dua kiblat. 

Apabila diketahui perubahan kiblat orang Islam tersebut benar-benar berlaku seperti mana yang ditulis dalam kitab-kitab lama orang Yahudi, yang meramalkan akan muncul seorang pesuruh Tuhan yang menukarkan kiblat umatnya dari Jerusalem ke tapak rumah Nabi Ibrahim as., pemimpin orang Yahudi pun beramai-ramai menemui Rasulullah saw. untuk menawarkan diri mereka memeluk Islam asalkan kiblat umat Islam ditukar semula kepada Jerusalem. 

Allah swt. memberi panduan kepada Rasulullah saw. untuk menghadapi tawaran pemimpin orang Yahudi itu dengan pesanan dalam ayat 145 surah al-Baqarah; “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. 

Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.” Begitulah sedikit sebanyak kisah peristiwa perubahan kiblat dari Baitulmuqaddis ke Masjidil Haram di Mekah yang sehingga hari ini kekal sebagai kiblat umat Islam seluruh dunia.


Sumber : kaki share

Sumber : alamviral
loading...

About Admin@akuhensem

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.