Terkini

Makbul Doa Si Kanak-Kanak, waktu rehat aku teringat wajah anak aku yang tengah berdoa

loading...
Nama aku Ana aku kongsikan untuk para pembaca. Terdetiknya aku untuk share kisah ini selepas terbaca kisah viral orang masjid menghalau kanak-kanak untuk sembahyang di saf belakang masjid. Dahulu aku juga menganggap anak kecil ini tidak penting..ya, sekecil namanya. Sehinggalah pada suatu hari, nama aku dicalonkan untuk pergi ke kursus seperti yang diarahkan oleh Ketua Jabatan tempat aku bekerja.

Untuk makluman pembaca semua, apabila nama seorang pegawai kerajaan itu dicalonkan untuk kursus, adalah wajib kita mematuhinya. Melainkan jika pegawai sakit atau ada hal kecemasan mereka boleh dikecualikan. So, aku pun terpaksa menurut perintah walaupun kursus tersebut berlangsung sehingga bulan puasa, 2 minggu lamanya dan jauh tempatnya!…

Mungkin bagi sesetengah orang 2 minggu hanya sekejap. Tetapi bagi yang ada anak kecil macam aku ni mula lah berfikir-fikir akan hal mereka nanti. Sahur, buka puasa, buat susu waktu malam, kerja sekolah dsb. Nak harapkan suami seorang, dia pun balik kerja lewat malam. Diringkaskan cerita aku memang agak rungsing waktu itu dan bersama suami kami terpaksa merancang meminta bantuan pengasuh anak dan jiran untuk membantu.

Oh ya lupa nak share aku ada anak perempuan 7 tahun dan 5 tahun dan kembar lelaki 1 tahun lebih. Apabila aku maklumkan pada mereka kursus tersebut masing-masing bising dan tanya pelbagai soalan seakan protes. Aku hanya mampu memujuk mereka sembahyang dan berdoa semoga ibu tak jadi pergi kursus walaupun dalam hati aku rasa mustahil ia akan berlaku.

Untuk anak 7 dan 5 tahun tu aku memang dah latih untuk sembahyang dan apa-apa doa selepas habis sembahyang. So dalam tempoh 12 hari sebelum kursus, aku selalu dengar anak-anak berdoa agar aku tak jadi pergi kursus. Kadang-kadang si kembar yang tengah bermain, boleh ikut aminkan doa kakak. Bersungguh-sungguh doa tak nak jauh dengan ibu.

Satu hari sambil makan aku bertanya pada yang sulung “Kakak, nanti kalau ibu kene kursus jauh tu jugak macam mana ye?” kakak menjawab dengan selamba “Ustaz cakap mintak betul-betul nanti dapat betul-betul. Allah kan ade power, bos ibu boleh kalah”. Ape pulak main kalah-kalah ni..dan aku tetap mengingatkan mereka kalau tak dapat apa yang kita doa tak semestinya Allah tak power, mungkin ada sebab yang kita tidak tahu kenapa. Sebab aku taknak anak-anak kecewa bila aku pergi berkursus nanti.

Tiba hari dinantikan 3 hari sebelum kursus memo pemakluman dan tentatif program diedar. Peliknya aku tak dapat memo tersebut dan selepas semakan dibuat nama aku tiada sebagai peserta!. ‘Akak maaf… nama akak dan Ina Unit Perolehan tercicir masa Pengarah besar nak sign. Saya pelik sangat sebab masa saya print aritu nama akak berdua ada”. Itu ialah penjelasan pegawai HR yang tergaru-garu kepala semasa bercerita. Aku dan Ina tersenyum lega apatah lagi si Ina yang sedang mabuk mengandung, sepanjang hari kami tersengih gembira.

Sewaktu rehat aku teringat wajah anak-anak aku yang tengah berdoa. Aku tahu Allah beri soft reminder untuk aku bahawa tiada apa yang mustahil bagi Dia. Doa anak-anak kecil yang suci dan tulus mulus ini membuatkan aku malu. Mereka bersungguh percaya Allah berkuasa untuk buat apa sahaja. Manakala aku pula lebih percayakan sistem dunia melebihi kuasaNya.

Aku juga telah faham kenapa ayah aku suka sangat bersedekah dengan budak-budak. Dulu masa kecik aku selalu membebel duit ayah abis bagi kat kawan-kawan. Sampai aku besar itu lah hobinya. Sehingga kini ayah aku masih sihat dan hanya mengalami sedikit sakit sendi. Mungkin berkat doa kawan-kawan aku yang dahulunya susah dan ada yang berstatus anak yatim.

Aku juga teringat tahun 2015 di mana Malaysia ketika itu mengalami musim kemarau. Di dalam akhbar terdapat gambar sekumpulan pelajar tahfiz kanak-kanak lelaki sedang berdoa di hadapan empangan air (lupa nama empangan). Tajuk akhbar tu air empangan kembali penuh. Ya, gambar mereka berdoa tu di dalam hujan renyai. Berkat tangan kecil mereka berdoa cepat pula hujan turun.

Berbalik kepada isu halau sembahyang di masjid tadi, jika ada yang berpendapat kanak-kanak perlu diasingkan saf maka bercakaplah dengan sopan dan memujuk. Sememangnya mereka sedang excited untuk sembahyang dan berdoa bersama. Jika kita kasar maka kasarlah jiwa mereka dan jauhlah hati mereka dengan masjid.

Akhir kata, orang dewasa tiada hak untuk menzalimi hak si anak kecil kerana jika mereka teraniaya, doa mereka juga dengan segera dimakbulkan Tuhan, apatah lagi mereka tiada dosa dan lurus segala perbuatan dan perkataannya. Tanpa orang dewasa sedari, kita telah menjadi penzalim dengan benda remeh seperti menafikan hak mereka untuk sembahyang bersama di masjid. Tak perlu mendewakan mereka, cuma kita perlu sedar merekalah harta kita dan kitalah pencorak supaya harta itu menjadi aset untuk dunia dan akhirat. Sekian.


Sumber : kaki share

Sumber :

Sumber : jubahsemalam
loading...

About Admin@akuhensem

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.